MAZLEE MALIK

Beliau berkata, dengan itu, tidak boleh dikatakan pelantikannya sebagai Presiden UIAM bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ini adalah kerana perbezaan berkenaan dan lagipun tidak timbul konflik kepentingan dalam perkara ini, katanya.

“Ia akan hanya bercanggah manifesto PH jika saya sendiri melantik diri saya untuk menjadi ketua, contohnya UM, UPM atau UUM dan lain-lain, kerana institusi berkenaan mempunyi struktur berbeza, dan UIAM betul-betul berbeza,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabat ketua menteri di bangunan baharu Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, UIAM mempunyai perlembagaan sendiri kerana semasa ditubuhkan, ia sepatutnya menjadi sebuah universiti antarabangsa de­ngan anggota lembaganya terdiri daripada duta atau wakil negara lain dan pre­sidennya tidak diberikan kuasa penuh yang biasanya diberikan kepada seseorang yang mewakili kerajaan Malaysia.

“Sebab itu kenapa sejak UIAM mula ditubuhkan, anda lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah presidennya ketika itu, sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu, Jadi tradisi ini bukan baharu - kerana struktur UIAM sendiri yang berbeza,” katanya.

Maszlee menegaskan, apabila Menteri Pendidikan dilantik sebagai presiden, menteri itu akan bekerja secara percuma tanpa gaji tetap, elaun atau kemudahan tertentu manakala sekiranya individu lain dilantik ke jawatan itu ia akan melibatkan hampir setengah juta ringgit bagi gaji atau elaun.

“Apabila saya dilantik Pre­siden UIAM oleh Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIAM, secara undang-undang saya sudah menjadi presiden. Jadi sekarang saya dalam dilema, kalau tidak terima, saya kena menghadap Sultan, beritahu baginda saya kena derhaka.

“Kedua-dua mereka (Sultan Pahang dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) kena lantik orang lain sebagai pre­siden, yang akan kena dibayar elaun dengan wang pembayar cukai, jadi adakah saya akan mengutamakan wang pembayar cukai atau mengutamakan desakan, saya kira dalam kes ini saya utamakan rakyat.

“Saya perlu rundingi pihak atasan, seperti pihak yang melantik saya iaitu Sultan Pahang dan juga Perdana Menteri, kerana saya tiada kuasa untuk menentukan apa-apa, saya perlu dapatkan nasihat mereka,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada perjumpaannya de­ngan Ketua Menteri, Maszlee berkata, beliau telah menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu pendidikan di Sarawak dalam dua aspek iaitu dari sudut prasarana, dan kualiti pendidikan.

Maszlee berkata, peruntukan sebanyak RM2.7 bilion disediakan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang akan memberi tumpuan terhadap usaha membaiki sekolah-sekolah yang uzur di Sarawak, dan bagi tahun ini masih ada RM100 juta yang akan di­belanjakan bagi tujuan itu.

Katanya, semalam beliau telah melawat empat sekolah di sekitar Simunjan serta Sadong Jaya yang daif dan beliau amat terharu dengan kesungguhan dan kegigihan tenaga kerja dan pelajar yang gigih dengan semangat berkobar-kobar untuk menim­ba ilmu walaupun dalam keadaan prasarana serba kekurangan.

Sehubungan itu, katanya beliau akan berbincang de­ngan universiti-universiti untuk membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran mereka, khususnya di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA