Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, perbalahan politik semasa dilihat telah membawa kepada perpecahan ummah yang tidak pernah dialami negara sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat diharap supaya dapat memahami maksud sebenar perbezaan dan perbalahan politik tanpa perlu menjejaskan perpaduan sesama mereka.

Perbalahan politik itu berlaku di mana-mana juga namun masyarakat kita pada hari ini dilihat lebih banyak melakukan provokasi kepada pemimpin politik supaya berbalah sesama sendiri.

Terserah kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka dalam pilihan raya nanti tetapi pastikan buat pilihan yang tepat dan keputusan itu boleh menyatupadukan rakyat dan ummah dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Konvensyen Rakyat, Menelusuri Akar Umbi Ke Arah Perpaduan Ummah di Dewan Tun Abdullah Mohd. Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi di sini hari ini.

Kira-kira 3,000 peserta terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin masyarakat , pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa hadir dalam konvensyen yang dianjurkan bersama oleh MDN dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).- UTUSAN ONLINE