Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed berkata, dalam tempoh tidak sampai dua tahun untuk mencapai status tersebut, kesedaran sivik masyarakat di negara ini masih di tahap rendah.

Beliau berkata, hal demikian kerana perbuatan seperti membuang sampah sembarangan, membuang sisa pepejal di luar tong, melonggok sisa pepejal secara haram, membuang kotoran ke dalam longkang dan sebagai­nya masih lagi berlaku.

Ujarnya lagi, penghasilan sampah tidak terkawal dan terurus bukan sahaja menyebabkan kos pengurusannya meningkat, malah turut mengakibatkan peningkatan penyakit bawaan, sektor pelancongan terjejas, bencana alam seperti banjir kilat dan sebagainya.

“Kebersihan persekitaran perlu dilihat secara menyeluruh. Jika sebelum ini persekitaran yang kotor menyebabkan peningkatan wabak denggi dan penyakit ken­cing tikus, sekarang timbul pula penyakit tangan, mulut dan kaki (HFMD).

“Masyarakat tidak boleh lagi mengambil mudah soal kebersihan persekitaran. Jika hendak mencapai status negara maju, maka kita perlu menuju kepada mentaliti kelas pertama,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurut Zulkapli, dalam mendidik masyarakat mengamalkan kebersihan, pihaknya telah me­ngadakan pelbagai kempen ter­utama mengenai pembudayaan amalan 3R iaitu kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

Program pendidikan mengenai 3R telah diadakan mengikut kumpulan sasaran seperti prasekolah, sekolah rendah dan menengah, institut pengajian tinggi (IPT), sektor swasta atau industri, sektor kerajaan dan komuniti taman perumahan.

“Sejak program pembudayaan 3R ini diadakan, kesedaran masyarakat terhadap kitar semula semakin meningkat saban tahun. Jika pada 2005 kadar kitar semula negara hanya lima peratus, tahun ini telah mencapai 24.6 pe­ratus.

“Kita sasarkan kadar kitar semula negara akan meningkat kepada 27 peratus pada 2019 dan 30 peratus pada 2020 iaitu apabila Malaysia mencapai status negara maju,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I.S. Shanmugaraj berkata, melalui amalan kitar semula, penghasilan sisa pepejal yang meningkat setiap tahun selari dengan pertambahan populasi, dapat dikurangkan.

Ini sekali gus dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan ekosistem demi kebaikan generasi masa hadapan.

“Kebelakangan ini kita dapat lihat begitu banyak sampah di te­ngah laut, sungai, paya bakau dan sebagainya. Ini semua boleh me­rosakkan ekosistem semula jadi.

“Selain mentaliti masyarakat kita yang masih membuang sampah sebarangan perlu diubah, amalan kitar semula juga perlu diterapkan agar penghasilan sisa pepejal dapat dikurangkan sekali gus menjadikan negara ini bebas sampah,” katanya

Bagi Presiden Persatuan Prihatin Persekitaran (PPP), Prof. Datuk Dr. Sudin Haron pula, amalan 3R bukan sahaja dapat me­ngurangkan penghasilan sisa pepejal, lebih daripada itu, ia dapat mengembangkan skala eko­nomi menjadi lebih besar.

Beliau berkata, ini kerana industri hiliran berkaitan sisa pe­pejal boleh dibangunkan seperti penghasilan produk-produk daripada bahan kitar semula.

“Masyarakat perlu menghargai sisa pepejal sebagai sumber baharu atau alternatif kepada sumber bahan mentah asli dalam pembuatan sesuatu produk.

“Dalam masa sama, amalan kitar semula dapat membantu mengurangkan kos pengurusan dan pelupusan sisa pepejal,” katanya.