Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Dr. Zulkapli Moha­med berkata, jumlah itu mewakili 44.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sampah yang diuruskan pihaknya setiap hari iaitu 37,500 tan metrik.

Sehubungan itu, Zulkapli menegaskan bahawa kejayaan usaha untuk mengelak pembaziran amat bergantung kepada keberkesanan kempen-kempen kesedaran yang dianjurkan kerajaan dan swasta.

Beliau berkata, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang sedia ada masih baharu dan pelaksanaannya perlu diluaskan agar kesedaran dalam masyarakat terutama pihak pengeluar makanan se­perti peniaga, pengusaha hotel dan restoran dapat mengurangkan jumlah pembuangan sisa makanan.

“Melalui kaedah pengurusan sisa pepejal yang efisien disertai tahap kesedaran umum yang semakin baik dalam mengatasi isu ini, saya yakin ‘jangka hayat’ sisa buangan di tapak pelupusan sampah dapat dipendekkan.

“Dalam meningkatkan kesedaran, SWCorp melaksanakan kempen MySaveFood yang dilakukan khusus sepanjang bulan Ramadan.

“Pendekatan itu terbukti berupaya menyalurkan lebihan makanan untuk dikongsi kepada golongan yang memerlukan selain pengenalan modul pem­belajaran di peringkat prasekolah mengenai kepentingan kitar semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan oleh beberapa pihak terma­suk ahli akademik dan aktivis masyarakat untuk mewujudkan akta pembaziran makanan bagi memben­dung masalah pembaziran makanan yang membimbangkan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusof berkata, perincian struktur akta tersebut masih belum jelas dan perlu diperhalusi dari sudut pelaksanaan jika dikuatkuasa.

Katanya, memang wujud ke­perluan mengawal lambakan sisa makanan terutama pada bulan Ramadan.

“Pelaksanaan akta tersebut bertepatan dengan ajaran Islam yang melarang pembaziran terutamanya makanan.

“Peniaga mahupun pengguna perlu bersedia jika akta tersebut dikuatkuasakan,” katanya.