Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ilmu dan aplikasi sains, teknologi dan inovasi (STI) adalah penting bagi negara menuju Wawasan 2020 dan visi Transformasi Negara 2050 (TN50) nanti.

“Program Famelab Competion ini yang memasuki tahun ketiga di negara untuk mereka dapat bercakap mengenai sains kepada orang awam.

“Cara mereka berkomunikasi mengenai sains dengan mudah dapat menggalakkan lebih ramai orang bukan dari aliran sains memahami,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan FameLab Competition bahagian Sabah-Sarawak di Swinburne University of Technology Kampus Sarawak hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) , Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman, Pengarah British Council Malaysia, Sarah Deveral, Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Prof. Janet Gregory dan pemenang anugerah Komunikasi Sains Terbaik Dunia 2016, Dr. Abhi Veerakumarasivam yang merupakan rakyat tempatan.

Sebanyak tujuh peserta menyertai FameLab Competition bahagian Sabah-Sarawak dimenangi pelajar sarjana dari Swinburne Sarawak, David Hong-Sheng yang berkongsi mengenai penggunaan antibiotik.

Tambah beliau, perkara itu mahu dilihat di masa akan datang yang mana kepentingan sains dalam kehidupan diterangkan secara tepat malah mudah difahami masyarakat.

Sementara itu, Mohd. Yusoff berkata, program itu merupakan platform terbaik kepada penyelidik berlatih menyampaikan hasil penyelidikan dengan cara mudah untuk difahami.

“Satu cabaran penyelidikan yang kadang kala menghadapi masalah untuk dipasarkan dan dikomersialkan.

“Justeru itu, ia menjadi cabaran penyelidik untuk komunikasi kepada penaja, pengguna dan sebagainya dengan penerangan yang mudah agar membiayai penyelidikan mereka,” ujarnya.

Bagi Dr. Abhi, beliau berharap peserta-peserta FameLab selepas ini agar tidak takut dan ambil peluang platform itu untuk membina jaringan, meningkatkan diri dan menceritakan minat mereka tanpa melihatnya sebagai suatu pertandingan. - UTUSAN ONLINE