Pengurus Besar Nafas Modal Insan Sdn. Bhd. (NMISB), Saharudin Mohd Dan berkata, berdasarkan statistik, Malaysia ketika ini berdepan defisit dianggarkan berjumlah RM20 bilion setahun dalam imbangan dagangan produk pertanian.

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat hasil daripada pertambahan bilangan penduduk serta peningkatan permintaan bagi pasaran produk asas tani yang semakin ketara ketika ini.

“Berdasarkan perkembangan semasa, permintaan terhadap produk pertanian terus meningkat ketara dari setahun ke setahun. Jadi amat perlu bagi kita menggalakkan lagi penglibatan rakyat dalam industri ini yang sebenarnya mempunyai potensi besar menjana keuntungan.

“Sebagai entiti bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), NMISB sentiasa komited melaksana pelbagai usaha untuk luaskan penyertaan rakyat dalam pertanian yang bukan saja berpotensi besar berkembang malah menjamin keselamatan bekalan makanan negara di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Program Agrokids 2.0 di Bangunan Nafas, Kota Damansara di sini hari ini.

Seramai 73 kanak-kanak menyertai edisi kedua penganjuran program berbentuk pendidikan pertanian itu yang diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti stesen kraf, dapur peladang kanak-kaak dan pertunjukkan badut.

Menurut Saharudin, selain memupuk minat dan memberi kesedaran kepada kanak-kanak yang terlibat, program dianjurkan sempena musim cuti sekolah itu amat penting bagi memupuk minat serta membina kapasiti modal insan sebagai penerus kelangsungan industri pertanian negara.

“Kesemua peserta mengambil bahagian termasuk ibu bapa kelihatan teruja mengikuti slot aktiviti diadakan yang menyelitkan pelbagai unsur pendidikan berasaskan pertanian. Ruang begini penting dan kondusif bagi menyedarkan golongan rakyat, pertanian itu adalah perniagaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE