Bagi seorang bapa pengantin yang berpengalaman menetapkan hantaran kahwin anak-anaknya, Mohd. Salleh Marzukhi, 59, keadaan ekonomi semasa menjadikan nilai hantaran perkahwinan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, perkembangan itu memperlihatkan ada bapa atau ahli keluarga sebelah perempuan menetapkan wang hantaran yang agak tinggi sehingga ada beranggapan bapa itu mahu ‘menjual’ anak perempuannya.

“Ada orang kata macam jual anak, tetapi sebenarnya, ia adalah desakan peruntukan semasa dalam kos mengendali dan menguruskan kenduri kendara yang semakin meningkat. Perkara ini hanya boleh difahami oleh mereka yang pernah mengahwinkan anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Menurut Mohd. Salleh, jika dilihat perkembangan semasa, jumlah wang hantaran beberapa dekad lalu jika dibandingkan keadaan kini terlalu banyak berubah.

Katanya, ketika tahun 1960-an dan 1970-an, purata wang hantaran adalah RM300 di kampung. Jika nilainya mencecah RM1,000, keluarga lelaki dikira orang berada atau kaya.

Namun, ketika itu, secara purata RM500 sudah cukup untuk mengadakan kenduri kahwin di kampung.

Pada 1980-an pula, nilai hantaran kahwin meningkat kepada RM1,700. Jumlah itu, masih dikira agak sederhana memandangkan wang hantaran secara purata pada waktu itu adalah di bawah nilai RM2,000.

Menginjak tahun 1990-an pula, nilai wang hantaran meningkat kepada RM3,000 hingga RM5,000. Ketika ini, kenduri di kampung memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000.

Keadaan pada tahun 2000 pula masih tidak banyak berbeza kerana nilai RM5,000 masih lagi kekal sebagai jumlah hantaran untuk perkahwinan era itu.

Namun, bermula 2010, wang hantaran yang ditetapkan rata-rata tidak kurang RM10,000. Menurut Mohd. Salleh, dia memahami bahawa jumlah itu juga boleh dikatakan cukup-cukup untuk mengadakan kenduri pada hari ini.