Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, label-label negatif yang dilemparkan terhadap golongan tersebut menyebabkan mereka berasa tersisih daripada masyarakat dan mula terlibat dalam perkara negatif.

Berikutan itu, katanya, satu usaha perlu dilakukan bagi mendekatkan golongan tersebut dengan masyarakat.

"Saya menggesa masyarakat supaya tidak mendiskriminasi mereka dan memberikan peluang untuk mereka menyumbang dan pergi ke sekolah, klinik, rumah ibadat dan tempat-tempat awam.

"Jika masyarakat terus melabel dan mendiskriminasi golongan ini dibimbangi kesan lebih buruk akan berlaku seperti statistik yang menunjukkan 80 peratus golongan transgender terlibat sebagai pekerja seks," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama aktivis transgender, Nisha Ayub, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, katanya, Nisha yang mewakili golongan transgender antara lain berjanji untuk tidak menuntut hak seperti perkahwinan sejenis dan lain-lain.

"Mereka hanya meminta hak untuk tinggal di Malaysia seperti orang lain, kita tidak mempunyai masalah dengan permintaan tersebut kerana masalah yang lebih penting ialah untuk membantu mereka mencari jalan keluar daripada menjadi mangsa diskriminasi di tempat kerja dan lain-lain," katanya.

Menyentuh lanjut, katanya, pertemuan tersebut hanya melibatkan golongan transgender dan tidak melibatkan golongan lesbian, gay dan biseksual yang lain. - UTUSAN ONLINE