Bagaimanapun, Najib berkata, beliau mahu masyarakat Cina mengukuhkan penguasaan dalam Bahasa Melayu walaupun bersekolah di SJKC memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi ramuan penyatuan semua kaum di negara ini.


“Sebagai kerajaan kita bersedia untuk memberi kelulusan untuk membina lebih banyak SJKC sebab saya tahu ramai yang mahu mendapatkan pendidikan di sana.


“Tetapi bila SJKC banyak saya mahu bahasa kebangsaan dikukuhkan, boleh cakap bahasa Cina tetapi saya mahu semua bercakap bahasa Melayu dengan baik seperti mana Presiden MCA kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina anjuran MCA di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.


Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutu­an, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.


Lebih 16,000 masyarakat Cina dari seluruh negara menghadiri perhimpunan tersebut yang diadakan bagi memupuk semangat patriotik masyarakat tersebut.