Mesyuarat itu antara lain mengesyorkan pindaan ke atas Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi memasukkan sekolah agama swasta dalam akta berkenaan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelaras dari segi pentadbiran dan bantuan kewangan terhadap sekolah-sekolah tersebut.


“Kita akan bertemu dengan kerajaan-kerajaan negeri dahulu bagi menjelaskan tentang perkara ini kerana adalah isu sensitif. Malah kita akan bertemu mereka pada petang ini pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI).


“Jika ia dipersetujui, kita akan membentangkan pula syor-syor ini kepada Kabinet esok. Jika akta ini perlu dipinda ia akan dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.


Selain itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu juga mengesyorkan agar diwujudkan kerangka kriteria kelulusan bagi pembentukan maahad tahfiz dengan spesifikasi piawaian oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan agensi-agensi penguatkuasa.


Kata beliau, mesyuarat itu turut mengesyorkan pematuhan terhadap piawaian minimum melibatkan maahad tahfiz, rumah anak yatim, sekolah agama, tadika, pusat penjagaan kanak-kanak dan orang tua. - UTUSAN ONLINE