Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, ia bertujuan menghebahkan peraturan yang diperkenalkan kerajaan itu kepada masyarakat.

"Saya ingin mencadangkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti untuk menyelitkan peraturan yang baik ini dalam khutbah Jumaat.

"Itu satu medium kepada lelaki dewasa dan kanak-kanak yang datang ke masjid dan boleh sampaikan maklumat secara langsung kepada rakyat mengenai peraturan ini," katanya dalam sidang akhbar kempen 'Lepak Sedap Tanpa Asap' di Restoran Shafiq Lee di Senawang, dekat sini hari ini.

Mohamad Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, berkata, pelanggan restoran boleh menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar perokok yang melanggar peraturan itu dan disalurkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau berharap pemilik restoran atau pelanggan menegur perokok yang degil dengan cara berhemah bagi mengelak perbalahan dan pergaduhan.

"Saya yakin pada peringkat awal ini kita cuba memaklumkan dan ajak rakyat untuk mengetahui peraturan ini. Hukuman bukanlah matlamat utama, mungkin ada yang tak sedar dan tak sengaja hisap rokok. Kita perlu tempoh untuk didik rakyat secara lebih sistematik," katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, Shafiq Lee Abdullah, 42, berkata, pelayan di restoran itu mengenakan topeng muka dengan logo 'Dilarang Merokok' sebagai satu kaedah memberi kesedaran kepada pelanggan supaya tidak merokok di dalam premisnya.

"Selepas lebih dua jam restoran ini dibuka hari ini, saya dapati tiada pelanggan yang menghisap rokok di dalam restoran ini. Kebanyakan perokok sedar larangan itu dan mereka merokok di luar," katanya. - UTUSAN ONLINE