Syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh media tempatan menyebut, pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa bara­ngan terlarang terutamanya dadah.

Direktor Utama PT Angkasa Pura II, Budi Karya Sumadi berkata, tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

“Dalam diskusi kami de­ngan Kementerian Perhubungan, ter­nya­ta banyak hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat, yakni Singapura dan Malaysia. Oleh kerana itu, Menteri akan menye­tujui random check-in, dari pesawat penum­pang dua negara itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya me­nunggu surat rasmi arahan daripada Kementerian Perhubungan untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

Budi berkata, pergerakan rak­yat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia.

Katanya, pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat banyak kes penyeludup­an dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. – BERNAMA