Pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu membuktikan komitmen kerajaan menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengisytihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Signifikannya pengumuman itu ialah sebagai tanda solidariti kepada Masjid Al-Aqsa yang kini berhadapan ancaman berikutan keputusan pengisytiharan tersebut oleh Presiden AS, Donald Trump pada 7 Disember lalu.

Jamil Khir berkata, langkah itu juga diharap dapat melonjakkan semangat umat Islam di negara ini untuk sekurang-kurangnya menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu dan menimbulkan kesedaran kepada kesatuan ummah.

“Kini ‘bapa angkat’ kita di Baitulmuqaddis memerlukan sokongan dan pertologan. Kita perlu bangkit menyatakan rasa hati, perasaan dan semangat kita.

“Kita hendak sampaikan kepada mereka kalaulah pengkhianatan yahudi pada peperangan Khaibar yang telah berlaku semasa zaman Rasulullah SAW sehingga baginda memperingatkan tentang perkara itu, maka hari ini kita mengulangi peringatan yang sama. Insya-Allah, kita akan bersama-sama Masjid Al-Aqsa kerana inilah maruah dan kesucian Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour yang dianjurkan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAqsa (MyAqsa), Dr. Noorazman Mohd. Shamsuddin; Pengerusi Kesatuan Ulama Palestin Luar Negara, Sheikh Dr. Nawaf Takruri; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali serta Ketua Unit Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, Salahudin Hidayat Shariff.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar beliau sebagai Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu minggu lalu menegaskan Malaysia menolak keputusan AS mnegiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beliau juga akan menghadiri persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Istanul, Turki pada Rabu ini untuk membawa suara umat Islam Malaysia menentang keputusan berkenaan.