Baginda bertitah, mengimarahkan masjid ialah tanggungjawab wajib dipenuhi oleh mereka yang telah bersedia menerima amanah apabila dilantik sebagai ahli jawatankuasa dan pegawai masjid.

“Orang-orang yang telah diberikan amanah mengurus dan mengimarahkan masjid, jika ti­dak memenuhi tanggungjawab secara ikhlas, bersungguh dan komited, sebenarnya telah tidak berlaku adil kepada kariah dan bersifat tidak memenuhi janji kepada ummah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini hari ini yang telah mencapai usia 50 tahun selepas dirasmikan pembukaannya pada 15 November 1968 oleh Sultan Perak Ke-33, Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakil-Allallahi Shah II.

Turut berangkat Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin menzahirkan pengharga­an kepada individu yang telah menguruskan Masjid Negeri termasuk menyampaikan Anuge­rah Mursyid kepada bekas imamnya, Datuk Sheikh Muhammad Nor Mansor Al-Hafiz; Zulkarnain Ibrahim dan Abdul Rahim Abu Bakar (Anugerah Imam) dan Yusof Ahmad (Anugerah Bilal).

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, pembinaan masjid merupakan aspek fizikal, justeru setelah dibina, ia wajib dibangunkan dengan perisian kandungan bermakna, dihidupkan oleh orang-orang yang ikhlas, bersungguh dan komited mahu mengembangkan syiar Islam.