Menerusi program ini, penduduk di sekitar Masjid Tanah diberi pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang produk-produk kraf tangan eterusnya mempromosikan produk ciptaan mereka.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah Kraftangan Malaysia menjadikan kawasan ini sebagai lokasi penganjuran program KKK amat bertepatan kerana ramai penduduk di sini yang memiliki bakat dan kemahiran dalam bidang tersebut.

“Program ini merupakan antara usaha memperhebatkan penghasilan dan pengeluaran produk-produk kraf dari usahawan kraf di negeri ini khususnya di Masjid Tanah.

“Ia juga menjadi landasan kepada usahawan untuk bertemu dan mempelajari keperluan pengguna masa kini selain memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti setempat mengenai industri kraf tempatan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika berucap merasmikan program itu di Dewan Tan Sri Dr. Abu Seman di Paya Rumput di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian itu, Saraya Arbi; Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Sebelum ini, lima projek KKK diadakan di seluruh negara iaitu di Kampung Kepala Bendang di Kuala Kangsar, Perak; Kampung Batu Lunguyan di Keningau, Sabah; Parang di Lawas, Sarawak; Kompleks Budaya Pulau Keladi di Pekan, Pahang dan di Besut, Terengganu.

Sepanjang Program Semarak Seni Kraf di Masjid Tanah, tiga makmal atau bengkel pembangunan produk kraf baharu diadakan bermula pada 10 hingga 13 April lalu melibatkan penyertaan 47 orang peserta.

Makmal Pembangunan Reka Bentuk Produk Kraf berasaskan parang diadakan di Kampung Seri Tanjung dengan penglibatan 20 peserta, Makmal Reka Bentuk anyaman mengkuang diadakan di Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru dengan penglibatan 12 orang peserta.

Satu lagi membabitkan Makmal Reka Bentuk anyaman rotan yang diadakan di Kampung Rantau Panjang dengan penyertaan 15 orang penduduk.  - UTUSAN ONLINE