Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara contoh aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan hari terbuka dan dialog keharmonian antara kaum di masjid.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan tauliah menunaikan solat Jumaat kepada Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok, Pauh Sanglang dekat sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Turut hadir Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dan Pesuruhjaya Pas Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli.

Masjid Al-Maghfirah yang baru siap dibina itu bagi menggantikan masjid lama untuk kegunaan masyarakat di kariah tersebut.

Masjid itu disumbangkan oleh orang ramai dan hasil inisiatif tokoh pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Haron Din.

Turut dikurniakan baginda di majlis tersebut ialah Bantuan Fitrah MAIPs Kariah Pauh Sanglang berjumlah RM44,000 kepada amil kawasan itu untuk diagih-agihkan kepada asnaf yang layak dan terpilih bagi pihak MAIPs. - UTUSAN ONLINE