Kakitangan MMC Gamuda, Ali Abd. Rahim berkata, pihak atasan syarikat belum mengeluarkan kata putus berhubung isu ini dan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan pekerja.

“Petang semalam ada mesyuarat bersama pihak atasan dan mereka (pihak atasan) hanya maklumkan kerja perlu jalan macam biasa.

“Setakat ini secara individunya saya tidak terkesan. Cuma kalau saya diberhentikan dengan surat atau notis, saya akan pergi ke saluran yang tepat iaitu Jabatan Buruh untuk membuat tuntutan balik,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan membuat keputusan untuk menamatkan kontrak syarikat itu melibatkan kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) yang mengakibatkan lebih 20,000 kakitangan syarikat itu kehilangan pekerjaan.

Dalam masa sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua dalam surat terbuka kepada MMC Gamuda hari ini berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membatalkan projek terbabit sebaliknya merancang untuk memberikan semula kontrak itu kepada kontraktor yang boleh menjalankan operasi pada kos yang lebih rendah sekali gus memberi peluang baharu kepada 20,000 pekerja terbabit.

Bagi mendapatkan pengesahan MMC Gamuda berhubung isu tiada pemakluman status pekerja itu, Utusan Online berjaya menghubungi jurucakap syarikat terbabit dan perkara tersebut disahkan benar.

“Setakat ini kami tidak ada sebarang makluman terbaru. Kami tidak terima apa-apa hitam putih daripada kerajaan.

“Kalau awak tanya saya sehingga bila perkara ini akan tergantung, awak tanya kerajaan kerana pihak kami sendiri tidak menerima apa-apa makluman daripada kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE