MOHD. YASSIN
MOHD. YASSIN

Tinjauan Utusan Malaysia di Tol Sungai Rasau pagi ini mendapati, rata-rata pengguna masih memberhentikan kenderaan dan mengeluarkan kad Touch n Go sebelum menyentuhnya pada mesin pembayaran, walaupun paparan di skrin jelas tertera 'TIDAK BEROPERASI'.

Malah, ada antara pengguna jalan raya bertindak mengundurkan kenderaan masing-masing dan menukar lorong kerana menyangka kad Touch n Go mereka bermasalah, selepas beberapa kali menyentuh mesin pembayaran biarpun tiada palang yang menghalang laluan.

Bagaimanapun, di sebalik situasi melucukan itu, ia me­ngundang kesesakan lalu lintas sehingga keadaan menjadi sedikit riuh apabila ada di antara pengguna lain yang membunyikan hon sebagai tanda menyuruh kenderaan di hadapan mereka meneruskan perjalanan.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan, Mohd. Ya­ssin Basirun, 51, berkata, situasi sedemikian berlaku sejak awal pagi sebaik sahaja dia memulakan tugas pada pukul 8 pagi.

Katanya, dia hairan melihat situasi tersebut berikutan pe­ngumuman pemansuhan kedua-dua tol itu telah diumumkan lebih awal iaitu sejak Oktober lalu dan dibuat secara besar-besaran.

“Hebahan media sama ada melalui televisyen mahupun surat khabar telah banyak, namun masih ramai lagi yang tidak mengetahui berke­naan pemansuhan tol ini.

“Akibat daripada situasi ini, kira-kira pukul 8.30 pagi tadi berlaku kemala­ngan kecil di salah satu lorong tol ekoran terdapat pengguna yang cuba mengubah laluan,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor serta tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor berkuat kuasa hari ini.