Jelas seorang peguam Adnan Seman, kebimbangan itu berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan dan pendirian yang diambil oleh menteri Kabinet tertentu yang secara peribadi menyokong ICERD.

“Jadi tidak mustahil boleh berlaku perubahan pemikiran. Mungkin kerajaan akan membuat mesyuarat baharu untuk meratifikasi ICERD apabila tentangan masyarakat mula reda.

“Sebab itu kita nampak laporan-laporan media yang pro-ICERD masih lagi mempromosi dan membuat undian secara dalam talian bahawa keputusan kerajaan membatalkan ICERD adalah salah,” kata Adnan.

Menurut Adnan, kebimbangan terhadap meratifikasi ICERD berteruskan kerana ia menjadi perjuangan setengah-setengah kumpulan hak asasi seperti Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

“IFC ini malahan menghantar 14 tuntutan kepada kerajaan. Mereka tuntut supaya orang Islam boleh murtad, perkahwinan berbeza agama dibenarkan, anak-anak yang lahir tidak memilih agama sehingga berumur 18 tahun. Mereka konsisten.

“Comango terlibat dalam Semakan Berkala Sejagat. untuk Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Comango menghantar laporan. Kalau kita baca laporan 2018 mereka memasukkan perjuangan untuk kerajaan mengiktiraf LGBT,” kata Adnan.

Bercakap dalam program Mornink Blues terbitan Utusan Online, Adnan juga berkata, kemenangan kumpulan peguam yang menentang ICERD dalam Jawatankuasa Majlis Peguam bagi sesi 2019/2020 baru-baru ini adalah manifestasi kebimbangan mereka terhadap usaha meratifikasi ICERD.

Pemilihan Majlis Peguam yang suram tahun lalu dengan hanya 13 orang merebut 12 kerusi Jawatankuasa Majlis Peguam menjadi hangat tahun ini apabila 30 orang mencalonkan diri. Jumlah kertas undi juga meningkat tahun ini berbanding sebelum ini.

“Kali ini juga menunjukkan satu rekod jumlah kertas undi terbanyak iaitu 29 peratus atau dalam 5,000 lebih. Sebelum ini dalam 2,000 hingga 3,000 undi sahaja.

“Kalau kita lihat ada satu barisan peguam yang mereka ini merupakan peguam yang menentang ratifikasi ICERD. Jadi dengan isu ICERD yang sedang panas ini berlaku pula pemilihan, kumpulan ini menyatakan mereka membantah ratifikasi ICERD,” kata Adnan.

Menurutnya, sebilangan peguam bimbang usaha meratifikasi ICERD akan memberi kesan kepada Perlembagaan Negara khususnya berkaitan hak asasi manusia mengenai kebebasan beragama dan seksualiti.

“Dalam konteks hak asasi manusia ini acuan dia adalah kebebasan dalam erti kata individu itu bebas segala-galanya. Bebas memilih agama, bebas ekspresikan diri seperti yang kita nampak kayuh basikal sambil berbogel itu di bawah hak asasi manusia.

“Ini adalah di bawah konsep hak asasi manusia sejagat. Norma kita berbeza. agama Islam tidak membenarkan murtad dan sebagainya. Sebab itulah kita meratifikasi beberapa konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia tetapi kita tidak ratifikasi sebahagian yang lain,” kata Adnan.

Sementara itu, Adnan berkata, masyarakat berterima kasih dengan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD dan kerajaan juga tidak perlu untuk mengisytiharkan keputusan tersebut di Parlimen kerana pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah mencukupi.-UTUSAN ONLINE