MASEU difahamkan, KSK MAS akan mendapat kebenaran daripada Kementerian Sumber Manusia untuk membuat potongan tersebut.

Setiausaha Agung MASEU, Ab. Malek Ariff berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa pampasan pemberhentian tidak termasuk dalam takrif upah sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Kerja.

Sehubungan itu, katanya, adalah menyalahi undang-undang bagi majikan untuk memotong pampasan pemberhentian bagi penyelesaian baki keseluruhan atau pembiayaan koperasi pekerja-pekerja MAS.

“MASEU ingin menekankan di sini nasib pekerja MAS ibarat jatuh ditimpa tangga kerana diberhentikan kerja ditambah dengan pampasan pemberhentian yang akan dipotong bagi menyelesaikan baki keseluruhan pinjaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller dalam sidang akhbarnya berkata, jumlah sebenar kakitangan MAS yang bakal diberhentikan hanya akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, hal ini bergantung kepada keputusan 14,000 kakitangan syarikat penerbangan itu sama ada mahu menerima tawaran kerja baharu daripada MAS atau sebaliknya.