Beliau berkata, penubuhan KRT di flat berkenaan merupakan langkah pertama yang perlu diambil sebelum analisis sepenuhnya berkenaan aspek kebersihan di kejiranan itu selesai dilakukan oleh kerajaan negeri bersama-sama agensi berkaitan

“Timbunan sampah di flat berkenaan dianggap ‘luar biasa’. Exco kerajaan negeri bersama-sama pihak polis serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan berbincang bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah sampah-sarap, malah masalah ‘sampah-sampah’ lain (kumpulan gengster, penagih dadah) di flat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong di flat persendirian itu yang dibina lebih 30 tahun lalu dengan mempunyai 280 unit rumah serta dihuni 127 penduduk.

Zambry berkata, pihaknya tidak mahu menuding jari atau bermain politik berhubung isu kebersihan dan timbunan sampah di flat berkenaan, sebaliknya akan berusaha memastikan masalah itu diselesaikan.

“Selain flat ini, kerajaan negeri juga akan menyelesaikan masalah di flat lain kerana ia melibatkan kehidupan sosial rakyat di negeri Perak,” katanya.

Menurut Zambry, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan penggunaan sistem pembuangan sampah kering sistematik iaitu iCycle yang diguna pakai di Melaka.

iCycle merupakan inovasi kitar semula menggunakan sistem kod bar yang dapat merekod sampah kitar semula serta menyediakan pulangan kepada mereka yang menggunakannya. – BERNAMA