Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan majikan dalam semua sektor di seluruh negara berurusan terus de­ngan kerajaan tanpa melalui ejen.

Menurut beliau, menerusi program itu kerajaan menjangkakan dapat membantu menyelesaikan masalah kira-kira dua juta pekerja asing yang tiada sebarang dokumen rasmi dari pelbagai negara.

“Kerajaan memahami masalah kebanyakan majikan di negara ini yang mendakwa ditipu oleh pihak ejen. Ada ejen telah mengambil wang perkhidmatan mengurus permit, namun tidak melakukan pendaftaran sehingga menyebabkan tempoh visa pekerja asing ber­kenaan tamat.

“Oleh itu majikan telah memohon kepada kerajaan agar memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan tempoh perkhidmatan pekerja asing. Maka kita buat keputusan untuk melaksanakan program ini, namun dibuat menerusi dalam talian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat 2016 kepada warga kementerian tersebut di sini hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan, menerusi program itu kerajaan telah memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di negara ini untuk diberikan permit kerja yang sah selain membolehkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar PATI di negara ini untuk tujuan pemantauan keselamatan.

Menurutnya, tiada penalti atau denda akan dikenakan terhadap majikan menerusi program tersebut, walau bagaimanapun bayaran untuk levi mengikut sektor perlu dijelaskan oleh majikan.

“Tiga bulan ini merupakan fasa pertama, selepas itu kita akan lihat maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum sebarang pengumuman lanjut dibuat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri semasa berucap berharap program penggajian semula itu dapat membantu menjana pendapatan negara sekurang-kurangnya sebanyak RM4 bilion melalui pembayaran levi.

Mengenai kebarangkalian kerajaan akan mengurangkan kenaikan levi yang berkuat kuasa pada 1 Februari lalu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan de­ngan pihak majikan.

“Perdana Menteri ada memaklumkan kepada saya agar melihat dengan teliti berhubung levi itu untuk dikurangkan,” katanya.

Baru-baru ini pelbagai pihak termasuk persatuan pengilang dan kontraktor membantah kenaikan levi pekerja asing meskipun telah berkuat kuasa 1 Februari lalu.