Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung itu berkata, perpisahan ibu bapanya membuatkan dia bertekad me­ngubah persepsi masyarakat terhadap pelajar bermasalah.

“Saya mahu orang pandang pelajar seperti saya boleh berjaya walaupun berdepan masalah keluarga,” katanya

Nur Nabilla memberitahu, dia bercita-cita menjadi seorang pegawai polis pada suatu hari nanti bagi mengikut jejak datuknya, Md. Zain Awang Ahmad, 69, yang merupakan seorang bekas komando dalam tentera.

“Sekiranya tiada rezeki untuk kerjaya itu, saya akan cuba memasuki unit beruniform lain,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan sama dari SMK Pulau Sebang, Siti Hawa Muhammad Firdaus Hau, 20, berkata, tiada rahsia untuk mencapai kejayaan selain memberikan tumpuan dalam kelas kerana apa yang diajar oleh guru sebenarnya adalah ilmu terbaik untuk menghadapi dengan peperiksaan.

“Selain itu, kita juga harus membuat persiapan awal de­ngan membuat nota sendiri kera­na tidak tahu apa yang bakal berlaku jika sengaja melewat-lewatkan ulang kaji,” katanya.

Sementara itu, seramai 1,290 iaitu 99.08 peratus calon STPM 2017 di negeri ini lulus penuh berbanding 1,271 (98.68 peratus) calon pada tahun 2016 iaitu pe­ningkatan sebanyak 0.4 peratus.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata, Gred Purata Negeri mencatatkan 2.77 mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.25 iaitu 2.52.

“Tahun 2017 mencatat seramai 547 calon iaitu 42.01 peratus memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas berbanding 501 calon iaitu 38.93 peratus pada tahun 2016 manakala dari segi kualiti, calon yang memperoleh PNGK 4.00 ialah seramai 19 orang calon,” katanya.