Namun, di sebalik kesungguhan pesawah menyambut usaha ini, pelbagai kemelut dan bebanan ditanggung mereka yang terpaksa berhadapan dengan kerugian selepas bermandi keringat di tengah sawah dan mengeluarkan modal yang banyak.

Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN meninjau permasalahan dan keluh kesah pesawah di kawasan Paya Setajam di Endau, Rompin, Pahang yang mempunyai 1,530 hektar kawasan sawah.

ROMPIN 26 Dis. -  Sistem saliran yang dibina di kawasan penanaman padi Paya Setajam di sini sememangnya begitu gah dan baik untuk kegunaan pesawah di kawasan itu, namun hakikatnya kewujudan tali air konkrit yang bernilai puluhan juta ringgit itu tiada apa-apa makna kepada pesawah pada masa ini yang mengalami masalah ketia­daan bekalan air sejak 2015.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sistem tali air itu hampir kering. Di sesetengah tempat air didalamnya hanya pada paras buku lali manakala keba­nyakan petak sawah yang mula ditanam padi kering.

Seorang pesawah, Hashim Buang, 41, berkata, masalah ketiadaan air memberi kesan yang teruk kepada petani yang me­nyaksikan ada antara tanah sawah telah merekah kerana ketiadaan air.

ALWI IBRAHIM
ALWI IBRAHIM 

“Kenapa setiap musim ada sahaja masalah? Apa guna buat saliran yang cantik, apa fungsinya kalau air tiada untuk kegunaan pesawah yang semakin terbeban untuk me­nyara kehidupan.

“Kenapa air dilepaskan ketika padi mula ditabur sahaja dan seperti musim lalu air dilepaskan apabila padi sudah berbuah yang sudah tentu tidak memerlukan air yang banyak. Kenapa apabila musim penamanan padi barulah mereka hendak buat kerja (membaiki dan mengganti pam) sehinggakan kami merasa seolah-olah disabotaj,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, masalah bekalan air yang berlarutan sejak lebih dua tahun lalu itu bukan sahaja menjejaskan hasil padi tetapi meningkatkan kos meracun apabila banyak rumput mula tumbuh akibat ketia­daan air.

Dalam pada itu, Alwi Ibrahim, 63, berkata, pesawah telah berkali-kali membuat aduan kepada pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) yang mengawal selia pengurusan sawah di situ tetapi tiada apa-apa tindakan dibuat bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa membeli pam air atau pun hanya berputih mata melihat padi yang ditanam tidak berhasil.

“Sebelum ini di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Pertanian tiada masalah saliran tetapi sejak IADA ambil alih setiap musim bermasalah. Saya tidak pernah mendapat setitik air hasil pembangunan yang dibuat IADA selama ini,” ujarnya.