Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said itu turut memperlihatkan realiti mengetepikan pergeseran untuk bersama mencorak era baharu bagi Terengganu.

Beliau yang juga Naib Pre­siden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, kebersamaan ditunjukkan sebenarnya menjadi teras solidariti penting ke arah memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, keadaan itu sekali gus memberi satu petanda penting bahawa ‘buku lama’ antara Idris, Ahmad Said dan Ahmad Razif sudah ditutup dan kini masanya untuk membuka lembaran baharu.

“Realitinya Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahmad Said bukan lagi Menteri Besar tetapi ketiga-tiga ini (bersama Ahmad Razif) duduk bersama-sama di atas pentas.

“Jangan hanya melihat sesuatu yang berlaku sebagai malapetaka atau bencana tetapi lihatlah sebagai hikmah walaupun kita menghadapi masalah tetapi atas nama solidariti maka kita tetap utuh hingga kini,” katanya ketika berucap merasmikan Persida­ngan Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid menegaskan, keupayaan UMNO dan BN menguasai semula teraju negeri daripada Pas selepas sepenggal berkuasa adalah berikutan Idris yang diberi kepercayaan oleh kepemimpinan parti, mendapat sokongan dan kerjasama padu pemimpin di semua pe­ringkat.

“Tetapi jika kita tidak memberikan keutamaan perpaduan dalam kalangan kita, ada kemungkinan peristiwa kehilangan kuasa akan berlaku semula,” katanya.