Perdana Menteri menjelaskan, disebabkan itu, kerajaan pimpinan beliau telah meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bagi me­nentang ancaman-ancaman ter­­sebut.

Beliau berkata, melindungi rak­yat Malaysia juga meliputi aspek ancaman bencana berita palsu.

“Berita palsu ini sudah tentu memberi ancaman kepada ke­selamatan dan kita telah melihat contoh di serata dunia, bertentangan dengan prinsip Zon Aman Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Berita palsu telah menjadi alat kepada campur tangan kuasa asing. Peliknya sesetengah kepemimpinan pembangkang hari ini mengalu-alukannya.

“Sebagai rakyat yang patriotik, saya boleh memberitahu bahawa kerajaan pimpinan saya tidak mahukannya. Kami tidak berkompromi soal kedaulatan negara den­gan membenarkan negara atau individu dari luar memberi­tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Fo­rum Putrajaya 2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia ( Natsec) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menyentuh isu etnik Rohingya, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan elemen militan akan menyerap masuk ke dalam komuniti itu sekiranya situasi mereka tidak ditangani dengan betul.

“Kita mengakui yang kerajaan Myanmar sudah mengambil langkah-langkah untuk menangani krisis ini, bagaimanapun lebih banyak usaha perlu dibuat.

“Punca asal isu ini mesti ditangani segera dan kami menyeru kerajaan Myanmar supaya memastikan pelarian ini pulang ke rumah mereka dengan selamat,” jelasnya.

Mengenai penularan ideologi mi­litan Daesh di negara ini, Perdana Menteri bersyukur kerana setakat ke hari ini hanya satu se­rangan berkaitan kumpulan ber­­ke­­naan dilaporkan, namun mene­gaskan pihak berkuasa perlu sen­tiasa berjaga-jaga.

Hal ini kerana kata beliau, sejak ta­hun 2013 hingga hari ini, 389 individu telah ditahan di negara ini kerana aktiviti berkaitan Daesh.

“Bagaimanapun, saya yakin pasukan polis dan pertahanan kita mempunyai semua kelengkapan diperlukan untuk memerangi kumpulan militan itu yang boleh membawa kemusnahan kepada tanah air,” ujar beliau.