"Tapak tema khas ini supaya orang ramai boleh meluangkan masa cuti dan membawa keluarga di hujung minggu," katanya pada hari terakhir Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di MAEPS, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menutup MAHA 2016 itu mencadangkan agar tapak MAHA itu terus hidup dengan dijadikan pusat agro-pelancongan bagi mempromosi produk pertanian.

Menurut Ahmad Shabery, jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid itu akan turut melibatkan beberapa kementerian seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Ahmad Shabery dalam pada itu mahu kawasan MAEPS dikekalkan seperti sekarang dan tidak mahu ia diubah untuk dijadikan tapak pembangunan perumahan atau kondominium.

"Cuma diminta, ada tambahan kemudahan seperti monorel di sekitar MAEPS untuk menghubung satu tempat ke tempat yang lain. Kita akan memasukkan perkara ini dalam 'post-mortem' akan datang.

Katanya, MAEPS dijadikan hak dan milik rakyat serta akan dibangunkan sebagai tapak rekreasi untuk rakyat dan keluarga mereka.

"Kalau dahulu, orang anggap MAEPS jauh dari Kuala Lumpur tetapi sekarang ramai dah mengenali dan tahu MAEPS mudah dikunjungi kerana terdapat lebuhraya Maju Expressway," katanya. - BERNAMA