Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysian Airlines (MASEU), Ab. Malek Ariff berkata, cadangan-cadangan itu termasuk pengambilalihan dan pembelian Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB), pembelian Mas Engineering dan operasi Firefly oleh firma penasihat kewangan tersebut.

Katanya, langkah-langkah yang dicadangkan itu dapat menyelamatkan masa hadapan sebahagian besar kakitangan yang akan dibuang itu.

“Strategi-strategi yang diusulkan telah dikaji dan diteliti oleh golongan pakar dalam bidang berkaitan dan pembiayaan korporat.

“Tambahan pula, Jentayu Danaraksa dipengerusikan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang mempunyai latar belakang baik dalam menerajui MAS ketika zaman ke–gemilangannya,” katanya kepada pemberita di Pejabat Maseu, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd., Feriz Omar dan Setiausaha Eksekutif MASEU, Mohd. Jabbarullah Abd. Kadir.

Ab. Malek berkata, pihaknya bersetuju dan yakin usul serta cadangan yang dibawa mampu membawa MAS kembali ke landasan yang betul.

“Strategi-strategi itu juga dilihat mampu mengukuh dan memperelokkan lagi cadangan 12 perkara penstrukturan semula MAS yang dibawa Khazanah Nasional Berhad.

“Diharapkan pihak Khazanah Nasional Berhad dapat mempertimbangkan dan seterusnya berbincang dengan Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd. berkaitan cadangan-cadangan tersebut,” katanya.