Dalam masa sama, Azlan berkata, beliau yakin barisan Exco tersebut tidak akan membuat undi tidak percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar dan me­ng­anggap perkara itu hanya sebagai spekulasi semata-mata.

Beliau berkata, sebagaimana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, masa untuk berpolitik sudah berlalu dan kini kesemua wakil rakyat perlu memberi fokus kepada pemba­ngunan negeri dan tanggungjawab kepada rakyat yang memberi kepercayaan.

“Lupakan politik dan terus mara ke hadapan. Saya yakin semua barisan Exco ini mempunyai visi dan agenda sama untuk memastikan kepentingan rakyat dan negeri ini terjaga.

“Barisan Exco ini juga komi­ted, agenda negeri diberikan ke­utamaan berbanding perkara-perkara lain. Saya juga yakin, mereka bekerja keras ke arah membangunkan negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelantikan Exco di Istana Arau, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) me­ngangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Balai Menghadap, Istana Arau.

Mereka yang dilantik itu ialah Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat), Asmaiza Ahmad (Chu­ping), Azizan Sulaiman (Santan), Rozaini Rais (Beseri), Siti Berenee Yahya (Mata Ayer), Hamizan Hassan (Kayang), Roziena Ahmad (Pauh) dan Teh Chai Ann (Titi Tinggi).

Azlan yang juga ADUN Bintong berkata, sekarang adalah masa untuk bekerja kerana banyak lagi agenda yang telah diatur untuk memajukan negeri ini selain meneruskan projek pembangunan sedia ada.

“Insya-Allah, kita ada satu pasukan yang bergerak bersama-sama bagi memastikan Perlis dapat maju ke hadapan atau seiring dengan negeri-negeri maju lain,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan undang-undang daripada BN negeri terhadap beliau yang kononnya tidak mendapat sokongan sebagai Menteri Besar, Azlan sekadar membe­ritahu, beliau tidak boleh memberi maklum balas mengenainya sebaliknya perlu diajukan soalan tersebut kepada ADUN lain.

Seterusnya ketika ditanya soalan sama kepada Azizan dan beliau memberitahu, kesemua ADUN memberi sokongan kepada Azlan dan perkara itu sudah tidak berbangkit lagi.

“Tidak berbangkit lagi, semuanya telah selesai dan sekarang masa untuk fokus kepada rakyat,” katanya.