Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, ini merupakan kali kedua MAS dipilih sebagai penerbangan rasmi MATTA Fair selepas kali pertama memainkan peranan sama dalam MATTA Fair pada Mac 2016.

“MAS dikenali sebagai pengendali penerbangan yang sentiasa memberikan perkhidmatan cemerlang kepada penggunanya, jadi menerusi kerjasama ini diharapkan penganjuran MATTA kali ini kami dapat menyediakan pakej-pakej terbaik termasuk tambang menarik ke pelbagai destinasi antarabangsa dan domestik menerusi penerbangan unggul bersama MAS.

“Kami yakin, MAS sebagai syarikat penerbangan negara akan menjadi daya tarikan utama pengunjung ke MATTA Fair menerusi pelbagai promosi dan pakej pelancongan yang akan disediakan dengan harga yang cukup menarik,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MATTA di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines Bhd. (MAB), Arved von zur Muehlen dan Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng.

MATTA Fair kali ini bakal berlangsung selama tiga hari bermula 16 Mac bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.-UTUSAN ONLINE