Dalam serbuan pukul 12.00 tengah hari itu, seorang juragan warga Indonesia berusia lingkungan 20-an turut ditahan.

Pengarah Maritim Malaysia daerah, Kapten Romli Mustafa berkata, suspek dipercayai cuba menyeludup masuk hasil buah kelapa sawit dari negara jiran ke perairan negara.

“Ketika melakukan rondaan di kawasan perairan pasukan Maritim Malaysia melihat sebuah kapal kargo tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus penguat kuasa mendekati kapal itu berjaya mengesan muatan buah kelapa sawit dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mempamerkan permit yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Romli berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua muatan itu diseludup dari Indonesia untuk pasaran tempatan.

Tambahnya, suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen daripada Lembaga Sawit Malaysia.

“Kesemua muatan sawit itu dianggar bernilai RM12,500 dan memenuhi permintaan di sekitar daerah ini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.