Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Datuk Mohd. Taha Ibrahim berkata, SOP ditetapkan AG tahun lalu itu bertujuan membantu agensi tersebut meningkatkan pendakwaan terhadap suspek kes Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Orang (Atipsom) 2007.


Beliau berkata, sebelum ini, Maritim Malaysia berhadapan masalah pendakwaan kes di bawah akta tersebut berikutan soal teknikal di mahkamah.


“Dalam soal siasat, kita kini mempunyai SOP untuk ditanyakan kepada suspek khususnya tekong. Kita yakin dengan adanya soalan tertentu yang ditetapkan, suspek kes ini (ATIPSOM) dapat diheret ke mahkamah,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Op Redback 8/2017 bersama Kawalan Sempadan Australia (ABF) di Pangkalan Maritim Kuala Perlis di sini hari ini.


Yang turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr. Angela Macdonald. - UTUSAN ONLINE