Bot itu ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia kira-kira pukul 6.15 petang semalam selepas dikesan menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari pantai terdekat.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim negeri, Komander Maritim Ahmad Faez Mat Ghani berkata, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang tekong bersama dua awak-awak warga tempatan berumur antara 42 hingga 66 tahun.

Tambahnya, hasil pemeriksaan, bot tersebut turut membawa satu pukat tunda gulung serta hasil tangkapan iaitu kira-kira 60 kilogram (kg) ikan baja dan 10kg ikan campur.

“Bot itu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di sini untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faez berkata, pihaknya memandang serius berkenaan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985  terutama melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan Jabatan Perikanan.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan komuniti maritim negeri ini bekerjasama dengan Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

Katanya, orang awam juga boleh melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. - UTUSAN ONLINE