Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Karim Harith, 68, menghidapi komplikasi organ hati yang gagal berfungsi memerlukan rawatan segera dibawa ke Jeti Tok Bali pada pukul 11. 30 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Besut.

"Dia disahkan menghidapi penyakit 'fulminant hepatic failure' gagal dibawa ke Jeti Kuala Besut dengan bot biasa apabila keadaan angin kencang dan laut begerola," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, pihak Maritim Malaysia Kelantan mendapat panggilan kecemasan dari Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk bantuan segera.

"Klinik berkenaan memaklumkan bahawa pesakit terbabit telah berjaya distabilkan namun perlu dihantar segera ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Memandangkan keadaan pesakit yang kritikal, kami segera menggerakkan Bot Maritim Penyelamat 7 untuk melaksanakan misi membawa pesakit ini, meskipun keadaan laut yang berombak setinggi tiga hingga empat meter,” katanya.

Beliau berkata, Bot Maritim Penyelamat 7 tiba di Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan pada pukul 2 petang selepas berjaya meredah ombak besar bersama pesakit yang ditemani oleh isterinya. - UTUSAN ONLINE