Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, pindaan akta itu bakal menjadikan operasi agensi berkenaan bertambah mantap.

“Dengan adanya peruntukan ini, peranan dan tugas Maritim Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Hal ini kerana adanya sokongan daripada PSMM meskipun peranan pasukan ini terhad seperti mencari dan menyelamat serta tugasan am lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zulkifli, kewujudan Paskam pula dapat menaikkan imej Maritim Malaysia apabila membolehkan agensi itu dikenali ramai bermula di peringkat sekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi.

“Pasukan kadet ini berfungsi untuk memberi pendedahan kepada peranan dan fungsi Maritim Malaysia dari awal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan lokap pula bakal melancarkan lagi proses berhubung hal-hal melibatkan tahanan.

Ujar beliau, lokap itu sangat diperlukan kerana selama ini Maritim Malaysia hanya menumpang lokap agensi lain bagi menempatkan tahanannya.

“Semasa proses siasatan, isu pembaziran masa dan tenaga dalam urusan kemasukan dan pegeluaran tahanan daripada lokap agensi lain dapat diatasi dengan baik," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan merancang dengan teliti bagi melaksanakan ketiga-tiga peruntukan baharu tersebut mengikut kewangan sedia ada yang diberikan kerajaan.