MARIA CHIN ABDULLAH

Baginya, walaupun tindakan afirmatif dalam proses kemasukan program itu adalah penting bagi memastikan mereka yang terpinggir tidak diabaikan, tetapi ia sesuatu yang tidak boleh diterima jika dibuat berasaskan kaum dan diskriminasi.

Beliau malah percaya apabila 90 peratus tempat disediakan kepada bumiputera sahaja seperti sekarang, ia boleh menyebabkan penanda aras kolej matrikulasi menurun dari segi gred berbanding pra-universiti yang lain seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Ini juga bermakna bumiputera yang melalui proses matrikulasi akhirnya menderita di universiti dan alam pekerjaan.

"Ini kerana mereka mungkin diatasi oleh mereka yang telah tertakluk kepada piawaian yang lebih tinggi dan mendapat tempat di universiti kerana kejayaan akademik yang lebih tinggi.

"Untuk mendapatkan pekerjaan, pelajar matrikulasi akhirnya akan diketepikan berbanding dengan pelajar STPM yang lebih baik," katanya menerusi blognya, mariachinabdullah.org hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa penawaran tempat sebanyak 2,200 dan 1,000 kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam program matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi tahun lalu.

Jelasnya, perkara itu juga berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi selain pengambilan yang dibuat masih berlandaskan sistem meritokrasi.

Perkembangan itu menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati dengan melihat kerajaan PH seolah-olah mahu menghapuskan peluang pendidikan kepada bumiputera.

Tambah Maria Chin, negara tidak seharusnya membataskan peluang pendidikan kepada para pelajar yang telah mencapai gred yang baik untuk memasuki universiti.

"Walaupun mungkin perlu untuk menetapkan kuota buat masa ini, tetapi ia mesti bersifat sementara untuk membantu mereka yang tidak mendapat akses pendidikan.

"Dalam jangka masa panjang, kita tidak harus meninggalkan sesiapa akibat kuota dalam pendidikan," katanya.-UTUSAN ONLINE