Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd. Din berkata, walaupun simpanan air mentah di Selangor mencukupi, namun faktor tersebut tidak memadai untuk menampung bekalan air terawat kepada pengguna kerana keupayaan loji rawatan air yang terhad.

“Misalnya ketika loji SSP3 henti tugas pada 6 Mac lalu, dengan andaian berlaku pengurangan 15 peratus pengeluaran air, dan dengan margin simpanan 3 peratus, maka lima hari diperlukan untuk memulihkan bekalan air bagi memenuhi sistem agihan bekalan air.

“Apabila berlaku kerosakan loji yang mengganggu pengeluaran, maka rizab simpanan air terawat yang sifar atau rendah menyebabkan kelewatan untuk memulihkan bekalan air kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini beberapa poster mula tersebar di media sosial bagi mengelirukan rakyat mengenai margin air terawat di Selangor dengan tujuan mengalihkan perhatian terhadap kegagalan kerajaan negeri Selangor melaksanakan penstrukturan industri air. - UTUSAN ONLINE