KUALA LUMPUR 2 Dis. - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan tujuh buku baharu berhubung amalan dan pengurusan tanaman sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor dekat sini hari ini.
Buku-buku terbitan MARDI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron dan Pengarah Penerbitan DBP, Abdul Khalik Sulaiman.
Sharif berkata, buku-buku tersebut boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada peminat amalan pertanian di negara ini.
Beliau berkata, buku bertajuk Buku Padi Aerob membincangkan mengenai amalan dan pengurusan tanaman padi aerob yang cekap dan berkesan, manakala buku manual Teknologi Pengeluaran Silaj memberi panduan kepada penternak dan pengusaha makanan ternakan untuk menghasilkan silaj dan Buku Inovasi Pertanian Bandar Do It Yourself pula menyampaikan maklumat Inovasi teknologi pertanian bandar.
“Buku manual penanaman kacip fatimah menerangkan teknologi pengeluaran tanaman itu dan buku unik koleksi 1, 2 dan 3 mengenai 12 spesies tanaman unik tempatan dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata, buku-buku tersebut boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran.