Pengusaha Makanan Laut dari Kemasik, Kemaman, Terengganu, Muhammad Abdul Rashid, 36, atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bilis Kemasik’ mempamer dan menjual pelbagai jenis makanan laut kering terutamanya ikan ke­ring, sotong kering, ikan bilis dan sebagainya lagi yang beliau sendiri hasilkan mengikut standard pengeluaran yang tinggi.

“Dengan bantuan MARDI yang menyediakan pelbagai bantuan barangan termasuk kenderaan roda tiga, tong-tong sejuk beku dan bantuan lain saya dapat mengeluarkan produk makanan laut yang mematuhi syariat iaitu halalan wa toyyiban.

“Ini kerana terdapat banyak keluaran makanan laut di negara ini tetapi belum tentu memenuhi kehendak syariah, jadi saya meme­nuhi keperluan umat Islam yang mahukan makanan laut yang halal dan bersih,” katanya.

Barangan pengusaha ini boleh diperolehi di bazar pamaeran Bazaar DOME IAT, MAEPS, Serdang sempena MAHA 2016 yang berlangsung sejak 1 Disember lalu sehingga 11 Disember ini.

Muhammad berkata, sebagai anak nelayan kampung Kemasik yang juga merupakan kampung asal kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek beliau berbangga kerana berjaya keluar daripada ‘kepompong’ dengan mengusahakan hasil perikanan berbanding hanya keluar menangkap ikan di laut.

“Saya menyahut seruan Menteri yang mahu melihat nelayan juga mampu menjadi usahawan berjaya.

“Alhamdulillah setakat ini saya berjaya menyara keluarga dan mengadakan modal pusingan perniagaan dengan membuka kedai makanan laut ‘JM Tanjung’ yang terletak di hadapan Pejabat Pos Kemasik,” katanya.

Sementara itu, pengusaha biskut dan bakeri, Anora M. Soldi 35 dari Kampung Sungai Serdang Kapar Kelang Selangor, pula berkata, berkat bantuan MARDI yang menyumbangkan mesin pengadun, ketuhar dan meja membolehkan beliau menempa nama sebagai usahawan yang berjaya.

“Keunikan tart-tart nanas keluaran saya dalam pelbagai bentuk dan warna serta biskut cip coklat berjaya memenuhi permintaan dari seluruh negara.

“Buat masa ini saya bergantung kepada promosi ‘daripada mulut ke mulut’ oleh mereka yang pernah merasai sendiri biskut-biskut keluaran saya,” katanya.

Menurutnya, pe­nyertaan beliau di MAHA kali ini begitu membuahkan hasil.

“Bukan sahaja pe­ngunjung tidak putus-putus membeli biskut-biskut keluaran saya ini, malah saya telah mendapat ba­nyak tempahan untuk sambutan Aidilfitri akan datang.

“Malah saya memberitahu mereka bahawa saya hanya mampu menerima tempahan sehingga Februari tahun depan sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau juga berjaya menghasilkan sejenis tepung khas untuk mengadun kuih tart dan boleh dibeli secara online.

“Dengan adanya tepung ini, sudah tentu terjamin halal dan kebersihannya,” katanya.