JOHAN ABDUL AZIZ
JOHAN ABDUL AZIZ

Ahli Majlis Mara, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, tiada sebarang sebab untuk pihaknya mengiktiraf sijil yang ternyata bercanggah dengan dasar pendidikan negara.

“Ada banyak universiti di luar sana tetapi mengapa mesti UniKL iktiraf UEC? Sudah jelas bahawa prinsip Mara adalah untuk membantu bumiputera, kenapa perlu bukakan kepada orang luar?

“Malah ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana semua orang tahu akan pendirian Mara dan sebarang keputusan perlu dikaji secara terperinci dan UEC sememangnya tiada dalam perancangan Mara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa bahawa UniKL mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti itu.

Annuar juga menyatakan UniKL adalah universiti swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menerima permohonan pemegang sijil UEC.

Bagaimanapun Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UniKL tidak pernah berhasrat membuka kemasukan untuk pemegang UEC.

Nazir Hussin Akhtar Hussin
Nazir Hussin Akhtar Hussin

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Majlis Mara, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, badan itu tidak terdesak sehingga sanggup menganaktirikan anak Melayu dan kerana itu beliau beranggapan, apa yang diperkatakan oleh Pengerusi Mara itu hanya bersifat kenyataan peribadi.

“Mara sememangnya tidak pernah merancang untuk mengiktiraf UEC dan tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian malah permohonan kemasukan pelajar semakin bertambah sehingga tidak cukup tempat.

“Implikasinya besar jika Mara mengiktiraf UEC. Bagaimana dengan nasib anak Melayu? Saya anggap Annuar hanya mengeluarkan kenyataan peribadi,” katanya. - UTUSAN ONLINE