Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi program tersebut, pelajar terpilih akan ditaja melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara.

"Ini adalah peruntukan terbesar kerana biasa­nya sebanyak RM2 bilion. Kita menyasarkan menaja 90,000 pelajar mengikuti pengajian di dalam dan luar negara dalam kursus profesional.

"Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dapat membangunkan masyarakat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong di sini hari ini.

Yang hadir sama Guru Besar SK Kerayong, Al Awal Osman.

Menurut Ismail Sabri, tajaan melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara melibatkan kursus sarjana muda dan sarjana.

Tajaan tersebut kata beliau adalah signifikan bagi membantu meningkatkan ta­raf hidup masyarakat luar bandar menerusi pencapai­an yang baik dalam bidang pendidikan.

“Kita turut memberi perhatian kepada anak Orang Asli yang mana seramai 15 orang dihantar melanjutkan pengajian ke luar negara pada setiap tahun,” ujarnya.

Dalam usaha memastikan masyarakat luar bandar mendapat pendidikan terbaik pula, kata beliau, pihak­nya menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus ana­k-anak masyarakat luar bandar memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Bagi mencapai sasaran ini, Mara akan menurunkan syarat kemasukan ke MRSM kepada pelajar luar bandar bagi membolehkan mereka memasuki asrama penuh berkenaan," katanya.