Beliau mengumumkan per­kara tersebut sambil berjanji akan memberi bantuan secukupnya kepada kementerian yang diketuai mente­rinya, Rina Harun itu sekiranya memerlukan keperluan tertentu seperti pengambilan pegawai, bekerjasama dengan pihak luar atau apa-apa sahaja.

Tegas beliau, kelebihan itu diberikan kerana tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul Kementerian Pembangunan Luar Bandar amat besar berbanding ke­menterian-kementerian lain.

“Oleh kerana Mara menjadi begitu besar maka untuk satu orang sahaja mengurusnya tidak mencukupi, sebab itu kita cuba me­ngagihkan kepada beberapa kementerian tetapi mendapat tentangan cukup hebat. Tidak apa kalau tak suka, kita kembalikan Mara kepada satu kementerian saja iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Saya harap kementerian itu kuat dan sanggup memikul beban yang cukup besar kerana Mara bukan kecil, tetapi terlibat dalam macam-macam bidang se­perti industri luar bandar, perniagaan, latihan, pelajaran, pengurusan pelaburan dan banyak lagi,” katanya dalam Sesi Dialog Masa Depan Bumiputera dan Negara bersama Perdana Menteri sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Pada 14 Ogos lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbe­lanjaan) 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat me­negaskan hanya kementeriannya sahaja bertanggungjawab menjaga Mara.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, silibus mata pelajaran Pendidikan Agama Islam di taman didikan kanak-kanak (tadika) dan sekolah akan diubah supaya mampu mem­bentuk keperibadian yang mempunyai nilai-nilai positif seperti yang digariskan dalam agama Islam.

Menurut beliau, terdapat murid Islam yang belajar di kelas moral kerana mendapati Pendidikan Agama Islam terhad kepada ibadat tertentu dan bukannya nilai serta cara hidup Islam.

Katanya, penguasaan ilmu semata-mata tidak menepati matlamat untuk melahirkan individu berperibadi murni, justeru tumpuan harus diimbangi dengan usaha membentuk kualiti sesuatu masyarakat.

“Ini yang akan kita ubah dalam sistem pelajaran negara, insya-Allah jika kita dapat mengubah dan membesarkan generasi akan datang dengan nilai-nilai mulia, mereka lebih berjaya menggunakan ilmu yang disampaikan kemudian,” katanya.