Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, pengelola MJHEP iaitu Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencadangkan supaya program ijazah berkembar itu terus dilaksanakan di Jepun dan Korea dengan tambahan beberapa bidang pengajian baharu.

Katanya, antara bidang-bidang baharu yang bakal ditawarkan di bawah MJHEP II adalah teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, teknologi pengangkutan, pembedahan kosmetik dan animasi.

“Kesemua bidang pengajian baharu di bawah MJHEP II ini akan memberi tumpuan kepada keperluan pasaran, pekerjaan dan kehendak industri pada masa hadapan.

“Buat masa ini, YPN sedang me­ninjau beberapa universiti di Korea bagi menjalankan kerjasama ini, antaranya Universiti Hanyang, Universiti Daejeon, Universiti Ewha Womans dan Universiti Ssangyong.

“Kami juga telah mencadangkan kepada pihak pendidikan tinggi di Korea supaya menubuhkan sebuah konsortium bagi menempatkan beberapa universiti yang bersedia untuk menjalin kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Tamat Pengajian (Sotsugyou Shiki) MJHEP 2016 di Dewan Hyogo Institut Perindustrian Mara-Jepun (MJII), Beranang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Program MJHEP, Mat Zailani Mat Nawawi.

Menurut Ibrahim, kerajaan berharap kesemua pelajar yang terdiri daripada 103 pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik serta Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu sentiasa menerapkan nilai integriti apabila berada di negara matahari terbit itu.

Katanya, nilai integriti mampu melatih individu itu untuk lebih menghormati perbezaan pihak lain seperti budaya, kepercayaan dan bahasa.

“Apabila berada di Jepun kelak, jangan sesekali mengabaikan pelajaran. Gunakan peluang tersebut sebaik mungkin dan cuba mempelajari perbezaan gaya hidup masyarakat di sana,” katanya.