Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumba­ngan golongan wanita sememangnya tidak boleh disangkal kerana bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan ge­nerasi akan datang malah kini menjadi penyumbang terpenting dalam pembangunan ekonomi negara.

“Menyedari keadaan ini, MARA mewujudkan Skim Pembangunan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) bagi merancakkan lagi penglibatan golongan tersebut dalam sektor keusahawanan. Ini sekali gus dapat menarik lebih ramai lagi wanita untuk menceburi bidang perniagaan.

“Sebanyak RM35 juta diper­untukkan MARA me­lalui Da­naNITA de­­­ngan fokus diberikan kepada latihan dan bim­bi­ngan serta pembiayaan khas untuk usahawan golongan tersebut.

‘‘Bagi latihan dan bimbingan, sebanyak RM5 ju­ta diperuntukkan dan sebanyak 5,000 usahawan wanita akan menerima manfaat daripadanya dan ba­gi pembiayaan khas pula, se­jumlah RM30 juta disalurkan bagi memperkasa 1,250 usahawan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Dana­NITA, di si­ni baru-baru ini.

Ismail Sabri menambah, sebelum ini MARA telah me­lahirkan lebih se­juta usahawan da­­lam pel­bagai bi­dang dan golo­ngan wani­ta turut menerima faedah daripada pro­gram yang ditawarkan oleh MARA iaitu pinjaman perniagaan, pe­nyedia­an premis, khidmat nasihat dan konsultansi, program pemasaran serta pemba­ngunan industri.

“Kini, 20 peratus daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana di negara dimiliki dan diuruskan oleh usahawan wanita, namun begitu jumlah tersebut adalah terlalu ke­cil jika diban­dingkan dengan jumlah golongan wanita di seluruh negara yang mencecah 49 peratus rakyat negara ini.

“Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu dari tahun 2011 hingga Februari 2017, MARA telah meluluskan pem­biayaan kepada 37,992 usahawan dan hanya 4.56 peratus sahaja da­ripada jumlah tersebut merupakan usahawan wanita,” katanya.

Oleh itu, katanya, DanaNITA diharapkan dapat menjadi platform terbaik bagi melahir dan memperkasakan usahawan wanita khususnya dan kepada bumiputera amnya.

“Antara latihan yang akan diberikan dalam pelaksanaan DanaNITA adalah pembentukan usahawan, motivasi serta pelan perniagaan bagi mereka yang baharu menceburi bidang keusahawanan. Mereka akan dibantu untuk terus berkembang sehingga mampu muncul sebagai pemain industri pada masa hadapan.

“Manakala bagi pembiayaan khas pula, DanaNITA akan memberi fokus kepada usahawan wanita berumur antara 18 dan 60 tahun membabitkan had pembiayaan sebanyak RM50,000 berkonsepkan pembiayaan patuh syariah,” katanya.

Ujar Ismail Sabri, DanaNITA adalah terbuka kepada semua usahawan wanita, sama ada yang mahu memulakan perniagaan ataupun mereka yang mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Sekiranya sambutan terhadap dana ini memberangsangkan serta pembayaran balik yang memuaskan, sudah tentu jumlah dana ini akan ditambah agar le­bih ramai usahawan wanita mendapat manfaatnya kelak.

‘‘Sudah tentu juga penerima pembiayaan ini akan dipantau terutama dalam memastikan perniagaan mereka berjalan lancar, sekali gus menjayakan hasrat kerajaan agar lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, Da­naNITA yang dilancarkan MARA diharap dapat menterjemah usa­ha kerajaan dalam konteks pemba­ngunan usahawan, penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan yang sete­rusnya akan mencipta kekayaan untuk rakyat dan negara.

“Diharapkan DanaNITA mampu merubah landskap sosioekonomi dan pemikiran masyarakat dari­pada hanya bercita-cita menjadi pekerja kepada pencipta peluang pekerjaan atau usahawan yang mampu mencipta kekayaan untuk dirinya, masyarakat dan bangsa. Kita mahu keusahawanan bukan lagi hanya bidang kerjaya pilihan sebaliknya mahu bidang ini menjadi budaya masyarakat kita,” katanya.