Beliau berkata, pembukaan premis itu antara lain bertujuan membantu usahawan bumiputera berkecimpung dalam bidang tek­nologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyaksikan penjualan telefon bimbit dan komputer meningkat setiap tahun mencecah RM10.6 bilion pada tahun ini.

Menurutnya, jumlah pengguna telefon bimbit di negara ini meningkat kepada 11 juta orang dan berkembang sebanyak 10 peratus setahun de­ngan 62 peratus pengguna terdiri daripada orang Melayu.

“Industri ini menunjukkan po­­tensi besar, namun usahawan kita (bumiputera) tidak sampai 10 pe­ratus. Jadi, kita hendak mengubah persepsi Medan MARA yang biasa­nya menjual tudung, mi­nyak urut dan kerepek kepada penjualan gajet.

“Niat kita bukan hendak bersaing atau menutup rezeki sesiapa tetapi untuk memberi alternatif kepada pengguna dari segi produk ICT. Saya ingin tekankan bahawa harga yang ditawarkan di MARA Digital tidak mahal tetapi kompetetif dan produknya dijamin tulen dan berkualiti.

“Malahan, dalam Jawatankuasa MARA Digital, kita mempunyai ahli dari Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya pengguna tidak ditipu oleh peniaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MARA Digital @ Ipoh di sini

Turut hadir Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Sebanyak lima kedai konsep dan 15 kiosk dibuka di MARA Digital @ Ipoh yang menawarkan penjualan komputer riba, telefon bimbit termasuk perkhidmatan pembaikian.

Industri ICT di negara ini mencatat jualan bernilai RM77 bilion setahun dengan trend pembe­lian telefon bimbit dan komputer menyaksikan pe­ningkatan dari RM8.74 bilion pada 2015 kepada RM10.6 bilion pada 2016.

Malah, jualan di MARA Digital di Menara MARA, Kuala Lumpur yang dibuka sejak lebih setahun lalu, turut mencecah RM28 juta.

Ismail Sabri berkata, adalah menjadi tanggungjawab MARA untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang ICT berikutan prospek pasarannya yang begitu cerah termasuk dari segi permintaan.

“Kita tidak mahu orang Melayu dan bumiputera hanya menjadi pengguna semata-mata, mereka juga perlu terlibat dalam bidang keusahawanan ICT yang sedang berkembang pesat,” katanya.

Menurutnya, sebuah lagi MARA Digital bakal dibuka di Kuantan, Pahang pada 29 Oktober ini.

Pihaknya juga telah mengenal pasti premis berpotensi untuk dijadikan MARA Digital di Johor, Melaka dan Terengganu.

“Walaupun ada pihak yang kurang senang dengan penubuhan MARA Digital kerana hanya menumpukan pada peniaga bumiputera, namun saya ingin tegaskan bahawa penubuhan MARA itu sendiri adalah untuk membantu bumiputera. Jadi, tidak salah sekiranya MARA memberi keutamaan pada usahawan bumiputera,” katanya.