Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berkata antara yang boleh dipertimbangkan ialah pengecualian beberapa jenis yuran yang dilihat mungkin membebankan sehingga ada ibu bapa yang terpaksa menolak tawaran kemasukan MRSM bagi anak mereka.


"Setakat ini saya difahamkan tawaran kemasukan ke MRSM bersyarat, maksudnya ada bayaran-bayaran yang dikenakan, sebab itu saya nak cadangkan setiap tawaran mesti berserta pengecualian pada item-item tertentu.


"Ini bagi memastikan pelajar tidak rasa terbeban dan mengambil keputusan tidak pergi mendaftar ke MRSM kerana tiada wang, isu ini perlu diambil perhatian kerana apabila MARA memutuskan kuota sebanyak 65 peratus pelajar MRSM untuk golongan B40, maka saya yakin sudah tentu ramai lagi akan mengalami masalah yang sama," kata Amiruddin yang juga Timbalan Menteri Kewangan.


Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada seorang bakal pelajar Tingkatan 1 MRSM Baling, Nurul Syafika Mohd Asri, 13, di Kampung Seberang Empa di sini, hari ini.


Amiruddin, yang juga Anggota Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara), berkata, pelajar yang dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM perlu mengeluarkan perbelanjaan melebihi RM300 untuk pendaftaran di Tingkatan 1, selain RM50 setiap bulan tidak termasuk perbelanjaan lain.


Ditanya sama ada gesaan tersebut akan dibawa ke Kabinet, Amirudin berkata, cadangan itu boleh dibincangkan di peringkat MARA terlebih dahulu sebelum dikemukakan di peringkat kementerian bertanggungjawab iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar.


Pada Disember lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kerajaan menetapkan kuota 65 peratus kemasukan pelajar baharu MRSM bagi sesi 2019 mesti diisi daripada pelajar golongan B40.


Sementara itu, Nurul Syafika berkata, beliau berterima kasih kepada pihak Ansara kerana membantu meringankan beban keluarganya sebelum mendaftar masuk ke MRSM Baling pada 14 Jan ini.


"Saya bersyukur kerana itulah cita-cita saya selama ini untuk belajar di MRSM, dengan sumbangan ini bolehlah saya gunakan untuk bayar yuran di hari pendaftaran nanti," kata anak sulung dari empat beradik yang bercita-cita menjadi seorang guru.


Ibunya, Nor Hasniza Saad, 34 pula berkata, beliau sangat teruja dengan pencapaian anaknya melanjutkan pelajaran ke MRSM dan bersyukur di atas bantuan dihulurkan Amiruddin yang dapat meringankan bebannya yang hanya memperoleh sekitar RM300 sebulan sebagai penoreh getah. - BERNAMA