Perdana Menteri juga menggariskan empat sebab mengapa institusi kebanggaan orang Mela­yu dan bumiputera itu akan terus wujud sekiranya BN terus diberikan mandat mentadbir negara.

Pertamanya, kata beliau ialah kerana kewujudan Mara itu sendiri dekat di hati beliau sementelah institusi tersebut diasaskan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapanya.

Sehubungan itu, kata Najib, Mara sudah sebati dengan perjuangan keluarganya dan akan terus dipertahankan.

“Yang keduanya kerana kewujudan Mara ada kaitan dengan Perlembagaan UMNO. Ada tertulis dalam fasal Perlembagaan parti bahawa hak-hak Melayu dan bumiputera akan terus diperjuangkan.

“Mara adalah wahana yang penting untuk merealisasikan perjuangan orang-orang Melayu dan bumiputera,” katanya ketika berucap dalam majlis Himpunan Saya Anak Mara di Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT), Subang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Presiden Badan Pemuafakat Pendidikan Mara Kebangsaan (Muafakat), Datuk Rizal Mansor.

Sebab ketiga, kata Perdana Menteri ialah kerana dasar bumiputera dan agenda Melayu merupakan agenda nasional.

“Yang keempat ialah kerana jutaan anak Mara di seluruh tanah air yang sebahagian besar pegang jawatan penting merupakan asas politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” jelas beliau.

Menurut Perdana Menteri, Mara tidak wujud dengan sendirinya tetapi kerana dasar dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan UMNO dan BN.

“Berbeza dengan sebelah sana, mereka akan melihat kalau ada institusi Melayu, bumiputera yang tidak selaras dengan konsep Malaysian Malaysia, pasti mereka akan lakukan sesuatu terhadap institusi seperti Mara,” ujar beliau.