Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, majlis itu yang bersifat jawatankuasa dianggotai oleh 10 orang yang pakar dalam bidang al-Quran, dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Yusof Noor.

Katanya, ia bertanggung jawab memperkasakan bidang berkaitan al-Quran termasuk melatih hakim bagi tilawah al-Quran dan menghantar mereka menjadi hakim acara itu di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan bakat qari dan qariah yang berpotensi.

“Kita berharap dapat menetapkan piawaian dalam tilawah al-Quran hingga menjadi standard antarabangsa.

“Selain itu, ia melatih hakim supaya mempunyai kompetensi tinggi hingga menjadi ikutan kepada negara-negara lain,” katanya kepada para pemberita di sini malam ini.

Menurutnya, tilawah al-Quran itu disertai oleh mereka yang terbaik selepas menang di peringkat negeri masing-masing.

“Jadi misi tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ini ialah mencari yang terbaik dalam kalangan terbaik untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Cita-cita kita ialah supaya peserta menunjukkan mutu yang tinggi hingga menjadi tanda aras kepada negara-negara Islam lain,” ujarnya.

Mohamad Nordin berkata, ramai peserta yang mengambil bahagian datang dari intitusi pendidikan al-Quran seperti Darul Quran, sekolah tahfiz Kementerian Pendidikan dan institut al-Quran milik negeri-negeri.

Tambahnya, semua institusi berkenaan telah melahirkan banyak bakat baharu dalam bidang al-Quran yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE