Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, flotila misi kemanusiaan itu dijangka dihantar hujung tahun ini dan diharap dapat melibatkan negara-negara ASEAN lain merangkumi sukarelawan, anggota perubatan, ahli politik dan budayawan.

“Setakat ini sebanyak 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah memberi komitmen dalam Flotila Keamanan ke Myanmar ini.

“Kami tidak dapat ramal sama ada kerajaan Myanmar akan membenarkan flotila ini sampai atau tidak tetapi kami mahu seluruh dunia tahu mengenai isu penindasan etnik minoriti terutamanya Rohingya di Myanmar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Mapim di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Azmi menggesa kerajaan mengambil inisiatif yang lebih agresif sebagai Pengerusi ASEAN dan Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai isu penindasan etnik minoriti di negara berkenaan.

“Kami berpandangan bahawa dasar tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai dalam isu Myanmar kerana masalah ini telah melimpah ke negara lain mengakibatkan ribuan pelarian etnik Rohingya, Kaman dan Kacin di Thailand, Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Persidangan dianjurkan Ma­pim, Universiti Teknologi Malaysia dan pertubuhan My Fellow di Johor Bahru pada 26 Februari lalu kata beliau, merumuskan bahawa hak minoriti di Myanmar perlu dikembalikan sekiranya negara itu mahu membangun bersama ASEAN.

“Penindasan dan penafian hak kaum Rohingya telah berlarutan sejak tahun 1962 apabila berlakunya operasi tentera mengusir, merampas serta membunuh etnik Rohingya.

“Malah, berita-berita mengenai penafian hak dan penderaan masyarakat Rohingya sehingga kini terus kedengaran tanpa sebarang perubahan,” katanya.

Pihaknya turut menyeru kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi menyelaras status pelarian Myanmar di negara ini serta mempertimbangkan kemudahan pendidikan, perubatan dan pekerjaan kepada golongan berkenaan.

Dalam masa sama, kerajaan Malaysia digesa memberi perhatian kepada isu pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Myanmar yang semakin berleluasa akibat wujudnya sindiket menjalankan aktiviti itu di sempadan Thailand dan Malaysia.

“Kami juga menggesa pihak keselamatan Malaysia untuk melakukan siasatan terhadap aduan wujudnya kumpulan penjenayah yang memasuki Malaysia dari Myanmar dengan tujuan melakukan pemburuan ke atas etnik Rohingya,” katanya.