Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu akan dilakukan dalam masa terdekat setelah bukti-bukti ber­kenaan berjaya dikumpul terma­suk pembunuhan dan pemerkosaan, dengan membekalkan gambar serta laporan yang memenuhi standard diperlukan.

“IHRC merupakan satu badan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka sedang menunggu Mapim menghantar laporan me­ngikut standard iaitu apabila ditangkap gambar, siapa jadi saksi, di mana berlaku dan siapa pelakunya.

“Yang ini sedang kita lakukan. Kalau cukup dua atau tiga kes besar, maka kita akan ke IHRC dan kemudian bersama-sama ke Belanda bagi memfailkan ke atas Myanmar apa yang kita katakan pembunuhan beramai-ramai serta jenayah ke atas kemanusiaan,” katanya selepas maj­lis pelancaran Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah di Masjid Sultan Azlan Shah di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, pihaknya turut mendesak kerajaan Malaysia supaya menggunakan platform sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB agar segera menyuarakan usul penghantaran tentera pengaman ke Myanmar bagi membantu komuniti Rohing­ya.

Selain itu katanya, sebagai negara yang berpengaruh dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia atau Indonesia perlu memanggil satu pertemuan sidang tergempar untuk menentukan suatu keputusan yang harus diambil terhadap Myanmar.

“Apabila Myanmar berulang kali mengatakan isu Rohingya merupakan urusan dalaman dan perkara ini tidak boleh dicampur tangan, itu alasan yang tidak boleh diterima lagi.

“Pembunuhan ini bersifat jenayah kerana etnik Rohingya tiada keupayaan untuk mempertahankan diri. Sehubungan itu, di peringkat ASEAN, selain mempertimbangkan untuk menggantung keahlian Myan­mar, negara itu juga harus dipecat terus daripada ASEAN,” katanya.

Tambah beliau, sekatan ekonomi pula harus dikenakan semula ke atas Myanmar, malah pihaknya akan melancarkan boikot antarabangsa melibatkan apa jua perdagangan di peringkat dunia ke atas negara tersebut sekiranya pembunuhan terus berlaku.